CONTOH KARANGAN KARYA PELAJAR

INOVASI DALAM PERTANIAN KE  ARAH JAMINAN BEKALAN MAKANAN  DAN PEMBANGUNAN NEGARA

               Sektor pertanian dan  sektor asas tani amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Melalui sistem pertanian yang terancang, bekalan makanan dapat disalurkan kepada setiap penduduk di negara ini. Dalam pada itu, pertambahan penduduk dan pembangunan negara yang semakin pesat menyebabkan bahan makanan semakin berkurang. Oleh hal yang demikian, kerajaan terpaksa mengimport bahan makanan daripada negara jiran dan negara luar. Menyedari hakikat bahawa Malaysia berpotensi untuk menghasilkan pelbagai sumber makanan yang tersendiri lantaran kemakmuran dan kesuburan bumi beriklim Tropika ini, maka inovasi amatlah penting bagi menjamin bekalan makanan berterusan dan pembangunan negara berada pada tahap yang mapan.

            Suatu masa dahulu, ketika Malaysia diduduki oleh tentera Jepun, Malaysia menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan. Sememangnya seperti yang kita ketahui pendudukan tentera Jepun di negara kita meninggalkan banyak kesan buruk. Kehadiran Jepun di negara kita adalah bagi meniupkan slogan “Asia Untuk Asia”. Jika dilihat kesannya dari segi ekonomi,  pihak Jepun mengenakan catuan bekalan makanan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan. Kad catuan diberikan kepada setiap keluarga untuk mendapatkan bekalan makanan yang hanya diberikan sebanyak dua gantang untuk sebulan. Oleh itu ubi kayu dan ubi keledek menjadi makanan asasi. Namun, kita belajar daripada sejarah silam. Kini, pelbagai usaha harus dilaksanakan dan dipertimbangkan bagi mendapat penyelesaian yang bernas dan bijak bagi mengelakkan berlakunya krisis sebegini berulang kembali bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.  Sikap masyarakat yang hanya pandai memberikan komentar bahkan hasilnya hanyalah sifar tidak seharusnya berlaku. Oleh itu, di sinilah letaknya peranan inovasi dalam bidang pertanian.

              Inovasi dalam penggunaan mesin dan jentera memainkan peranan penting dalam  usaha memajukan sektor pertanian di negara kita.  Penggunaan jentera bukan hanya mempercepat kerja pertanian bahkan juga mampu menjimatkan kos buruh, meningkatkan kecekapan pengeluaran dan menjimatkan masa kerja. Jika dahulu, kita hanya menggunakan tenaga manusia atau buruh bagi menjalankan segala kegiatan yang berkaitan sektor pertanian. Penggunaan haiwan seperti kerbau bagi membajak tanah juga digunakan pada zaman dahulu. Inovasi dalam pertanian mula menyerlahkan hasilnya melalui ciptaan jentera pembajak sawah, mesin penuai padi, malah terdapat banyak ciptaan mesin dihasilkan untuk memajukan sektor pertanian di negara kita.

             Pada era dunia yang serba moden ini, orang ramai seperti tidak mengambil peduli tentang pertanian yang berlaku di negara ini. Pernahkah kita terfikir akan kesukaran mendapatkan bekalan makanan seandainya tahap pertanian di negara kita berada pada takat yang sama? Tanpa adanya perubahan dan inovasi, sumber makanan di negara kita pasti akan berkurangan. Kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyediakan dana yang banyak kepada  Jabatan Pertanian, MARDI, MPOB dan institusi pendidikan tinggi untuk menggalakkan penyelidikan bagi meningkatkan dan memajukan sektor pertanian di negara kita.

             Pihak bank di negara ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan inovasi dalam bidang pertanian. Pihak bank haruslah melonggarkan syarat pinjaman kepada para petani dan mengurangkan kadar faedah yang perlu dibayar oleh peminjam. Hal ini demikian kerana kebanyakan petani tinggal di pedalaman kerana kedudukan yang lebih strategik, mempunyai sistem pengairan yang baik dan tanah yang subur. Golongan ini kebanyakannya tergolong daripada golongan berpendapatan rendah dan memerlukan pinjaman untuk membangunkan pertanian mereka . Dengan keuntungan yang diperoleh, mereka boleh memperuntukkan keuntungan tersebut untuk mendapatkan jentera dan mesin yang lebih baik seterusnya dapat meningkatkan produktiviti hasil pertanian negara untuk menampung permintaan yang  banyak saban hari.

             Kaedah bioteknologi dalam pertanian merupakan satu teknologi yang sangat penting yang diperlukan dalam proses peningkatan produk pertanian. Bioteknologi ialah proses sel atau organisma digunakan sebagai bahan asas dalam proses teknologi untuk menghasilkan sesuatu produk . Melalui kaedah ini , kita dapat menambahkan nilai pemakanan. Kaedah ini juga dapat membaiki ciri fizikal hasil pertanian dan mengawal penyakit yang berlaku ke atas tanaman. Inovasi dalam penggunaan bioteknologi ini mempunyai masa depan yang amat cerah sehingga kerajaan merangka Dasar Bioteknologi Negara dan menubuhkan Biotechcorp bagi membolehkan inovasi dalam bioteknologi dilakukan secara berterusan. Banyak ciptaan terkini dan berdaya saing akan mampu dihasilkan melalui penubuhan Biotechcorp ini.

               Kultur tisu juga merupakan satu inovasi baharu yang amat membanggakan dan berpotensi untuk dikomersialkan. Sebenarnya kultur tisu merupakan satu cara menghasilkan anak pokok yang lengkap. Lebih tepat lagi kultur tisu ialah proses pengklonan yang berbaka baik. Kebaikan daripada kaedah ini , tumbuhan yang susah dibiakkan dengan menggunakan bijih benih boleh dibiakkan  melalui cara ini . Secara tidak langsung , pengeluaran bahan makanan dapat dipertingkatkan . Kaedah ini juga mampu menghapuskan virus-virus atau penyakit daripada pokok yang dijangkitinya . Selain itu , kaedah ini amat berguna untuk menghasilkan klon-klon yang banyak dengan mudah dan cepat . Antara pokok yang boleh menggunakan kaedah ini ialah getah kelapa sawit , orkid , nanas dan pisang. Hasilnya, inovasi ini mampu menyediakan bekalan sumber makanan yang berterusan sehingga boleh dieksport dan memberi pulangan yang besar terhadap ekonomi negara.

               Sehubungan dengan itu, banyak faedah dan kebaikan yang diperoleh jika kita mengusahakan pertanian dengan nilai inovasi. Salah satunya ialah negara dapat meningkatkan mutu hasil sesebuah produk pertanian yang diusahakannya seperti baka yang elok, baja yang baik dan sebagainya. Kemajuan dalam sektor ini turut  juga boleh melonjakkan  nama Malaysia sebagai salah satu negara yang popular dari segi pertanian . Selain itu, kemajuan ini  juga dapat dimanfaatkan oleh rakyat kerana banyak peluang pekerjaan yang boleh disyorkan kepada mereka yang menganggur atau mereka yang tiada peluang untuk meneruskan pelajaran mereka . Impak yang amat ketara ialah, tahap kemajuan di luar bandar akan berlaku dan jurang kemiskinan akan berjaya dirapatkan. Jika hasil pertanian meningkat, maka pendapatan negara juga akan meningkat dan krisis bekalan makanan dapat dibendung dan mungkin kita akan menjadi pengimport pertanian yang ternama di seluruh dunia.

              Konklusinya, inovasi memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan sektor pertanian di negara kita. Dalam jangka masa yang panjang, negara kita memerlukan simpanan dan bekalan makanan yang berterusan bagi menjamin rakyat di negara ini tidak mengalami masalah kekurangan makanan yang boleh menyebabkan peningkatan harga barang, peningkatan kadar jenayah akibat kekurangan sumber makanan dan kadar inflasi yang tinggi. Banyak usaha yang boleh kita buat untuk menambah baik mutu dan membaik pulih industri ini. Dengan adanya inovasi dalam pertanian maka negara kita akan membangun dengan sempurna, aman dan harmoni.

                                                                                                      (1000 patah perkataan)

 Nama : Nurul Amira Bt Mohd Sahar

             SMK CHERAS JAYA

 

                                                                                                                  

 

         

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s