Archive | February 2013

MEJA BERMAKLUMAT PANITIA BAHASA MELAYU

MEJA BERMAKLUMAT PANITIA BAHASA MELAYU

Advertisements

Lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita

Marlah amalkan ramai-ramai

Bahasalah menyatukan kita semua

Yakinlah bahasa jiwa bangsa

 

Marilah mari rakyat semua

Buktikan taat setia dengan satu bahasa

Maju bangsa dan maju negara

Megahkan bahasa kita

Bahasa jiwa bangsa.

Contoh Karangan

INOVASI DALAM PERTANIAN KE ARAH JAMINAN BEKALAN MAKANAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA

Selayang pandang, sektor pertanian di Malaysia kini dilihat sebagai pemangkin utama dalam merancakkan perkembangan ekonomi negara. Mana tidaknya, pertanian membekalkan sumber keperluan makanan sebagai nadi kehidupan manusia. Aplikasi teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian mutakhir ini adalah penjana sebenar industri pertanian negara termasuklah dalam sektor perladangan, penternakan dan industri asas tani. Dahulunya, aplikasi teknologi dalam sektor ini dipandang sebelah mata, namun bagi merealisasikan kelangsungan negara sebagai peneraju utama bahtera beberapa jenis komoditi dunia, kerajaan Malaysia telah memperkasa bidang pertanian melalui penyelidikan dan inovasi yang dijalankan. Inovasi dalam pertanian ditakyinkan sebagai sesuatu kaedah yang baru diperkenalkan dalam bidang pertanian seperti bioteknologi, kultur tisu, mikroorganisme berkesan dan sebagainya yang dilihat mampu merancakkan sektor pertanian di negara kita setaraf dengan negara maju yang lain.
Apabila Kementerian Pertanian dijenamakan semula kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, hal ini menggambarkan betapa sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian mempunyai hubungan bagai isi dengan kuku yang saling melengkapi. Kerajaan memberi penekanan yang besar terhadap sektor perladangan yang boleh memberikan pendapatan besar terhadap ekonomi negara, khususnya perladangan kelapa sawit. Penubuhan MPOB atau Malaysian Palm Oil Berhad iaitu agensi kerajaan yang diasaskan untuk membangunkan penanaman sawit dengan barisan penyelidik dan tenaga pakar yang sentiasa menjalankan penyelidikan adalah tepat pada masanya. Kita akan saksikan pelbagai inovasi yang dihasilkan seperti Buah Tandan Segar (LBS) yang mengeluarkan minyak yang berkualiti bertaraf eksport. Apakah rahsia di sebalik penghasilan minyak berkualiti ini? Jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan melalui inovasi dalam teknik penanaman semula sawit, inovasi dalam memanipulasikan pengurusan nutrien sawit, formulasi semburan anti anasir perosak sawit dan impak pengaplikasian teknologi jentera yang cekap. Lihat sahaja kesan inovasi dalam perladangan kelapa sawit lebih gemilang berbanding perladangan komoditi lain seperti kelapa, koko, nanas, tebu dan sebagainya yang kurang mendapat suntikan teknologi bertaraf prima.
Sudah terang lagi bersuluh, bioteknologi dalam bidang pertanian merupakan satu inovasi yang amat membanggakan. Bioteknologi telah dikenal pasti sebagai skop penyelidikan yang terpenting ke arah transformasi pertanian. Kepakaran dalam pelbagai bidang bioteknologi pertanian seperti biologi molekul dan kejuruteraan genetik, merupakan bidang yang kini diberi penekanan yang bersungguh-sungguh menerusi Dasar Bioteknologi Negara. Dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Dasar Bioteknologi Negara ini dilihat sebagai satu platform yang memainkan peranan penting sebagai sumber ekonomi baharu negara. Menurut mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam majlis Pelancaran Kempen Bumi Hijau Peringkat Kebangsaan, “Bila bioteknologi dan ICT dicantumkan dalam pertanian, ia akan memberikan hasil yang lebih baik sementara kualiti produk kita akan lebih tinggi berbanding produk-produk lain di pasaran. Rentetan itu, tertubuhkan Biotechcorp Berhad yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi menjalankan kajian dan penyelidikan saintifik ke arah merealisasikan Dasar Bioteknologi Negara. Terserlahlah bukti bahawa inovasi amat penting demi masa depan negara yang lebih baik.
Seterusnya, umum mungkin belum pernah mendengar tentang teknologi EM. Teknologi EM atau mikroorganisma berkesan ini merupakan usaha untuk memanfaatkan seoptimum yang mungkin terhadap EM demi kebaikan manusia sejagat khususnya dalam memajukan sektor pertanian. Inovasi ini dilihat mampu memperkasa sektor pertanian di negara kita kerana lebih menjamin kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang. Kehadiran makhluk-makhluk seni ini disedari sebagai ‘makhluk baik’ yang memberi kebaikan pula kepada orang lain. Penyelidikan dan pembangunan teknologi EM ini diungguli oleh negara Jepun, namun Malaysia turut bertindak bijak dengan memanfaatkan mikroorganisme ini. Menerusi inovasi ini, terhasillah baja organik yang diproses dengan tinja haiwan seperti kambing, ayam dan lembu untuk dimanfaatkan dalam penanaman sayur-sayuran. Memang menakjubkan, kajian menunjukkan bahawa padi yang menggunakan baja organik meningkat sebanyak 10 peratus, ketahanan pada cendawan juga meningkat, sayur-sayuran hidup subur dan bunga-bungaan berkembang segar. Menariknya, penggunaan teknologi EM ini mewujudkan keseimbangan ekosistem iaitu bau busuk akibat timbunan najis di kandang haiwan ternakan semakin berkurangan.
Apabila menyebut tentang inovasi dalam pertanian, bagaimanakah kerajaan memanfaatkannya kepada penduduk yang tinggal di desa? Oleh itu, agensi kerajaan ditubuhkan untuk membawa teknologi baharu ke desa melalui kerjasama dengan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi. Hasil penyelidikan, terciptalah mesin-mesin untuk memproses hasil pertanian menjadi produk bernilai tambah yang memanfaatkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Sebagai contoh, Sirim Berhad berjaya mencipta mesin pemangkas jagung, mesin jangka mengkuang dan pandan, mesin memotong pisang, mesin pengisar baulu, mesin pembentuk keropok lekor, mesin pemerah dan penapis jus nanas. Ciptaan mesin yang unik ini juga membolehkan makanan diproses dengan lebih cepat, tahan lebih lama dan boleh dipasarkan ke seluruh negara. Nama anak tempatan iaitu Encik Zulkifli Haron perlu diiktiraf oleh kerajaan sebagai inventor negara. Sehingga kini, syarikat miliknya iaitu Zul Design telah berjaya mereka lebih daripada 200 ciptaan khusus untuk membangunkan industri desa. Konsep ciptaan Zul Design ialah mesin yang murah di samping dapat meningkatkan produktiviti. Impak positifnya akan memberi manfaat kepada penduduk desa sekali gus membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan beralih kepada peladang jaya. Hal ini cukup memberi bukti bahawa era ini, sektor pertanian amat memerlukan inovasi berbanding tenaga manual manusia yang kekuatannya terbatas apatah lagi dengan pertumbuhan pesat penduduk Malaysia yang kini menjangkau ke angka 27.5 juta orang.
Di samping itu, bidang penternakan membekalkan sumber protein yang utama kepada negara. Sedar atau tidak sebenarnya, inovasi telah lama dilaksanakan dalam bidang penternakan. Tanpa penyelidikan saintifik, negara tidak mampu membekalkan keperluan protein seperti ayam, kambing, lembu, dan ikan yang secukupnya. Oleh sebab negara masih kekurangan sumber daging, maka sebahagiannya terpaksa diimport dari negara jiran. Sungguh mendukacitakan! Oleh itu, kerajaan perlu bertindak lebih proaktif untuk memajukan sektor penternakan dengan menjalankan penyelidikan dan kajian dan melakukan transformasi. Satu inovasi yang telah diperkenalkan ialah teknik pengklonan haiwan yang menghasilkan baka haiwan ternakan yang lebih baik. Contohnya, melalui teknik kacukan baka-baka kambing terpilih, telah berjaya menghasilkan kambing Boer dan Germansia. Lembu berbaka baik dari India kini diternak lebih meluas. Haiwan lain seperti rusa, arnab dan burung emu semakin membiak di ladang ternakan. Rakyat Malaysia memerlukan inovasi dalam pengeluaran produk berasaskan daging seperti nuget, burger, sosej, bebola daging, sate, kebab dan sebagainya amat berpotensi untuk dibangunkan kerana produk makanan yang diproses ini menjamin bekalan makanan yang mencukupi malah mampu menembusi pasaran antarabangsa. Jadi, inilah masanya yang sesuai untuk meningkatkan lagi daya produktiviti apatah lagi Malaysia diiktiraf oleh OIC sebagai negara yang berpotensi sebagai hub-halal dunia iaitu negara yang mengeluarkan makanan halal utama di dunia.
Sebagai kesimpulannya, inovasi dalam pertanian kini amat penting dalam memberi jaminan terhadap bekalan makanan dan pembangunan negara. Sudah sampai masanya kita memberi tumpuan terdapat penyelidikan melalui pertandingan yang berunsur inovatif sejak di bangku sekolah lagi. Penekanan harus diberi terhadap kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif. Dengan itu, masa depan negara akan lebih cerah kerana sesungguhnya, Malaysia sebuah negara yang berinovasi.
(1056 patah perkataan)

Ceritakan sambutan Hari Guru di sekolah anda. (PMR 2011 soalan 3)

          16 Mei setiap tahun merupakan tarikh yang amat bermakna bagi pendidik bangsa. Pada setiap tahun Hari Guru pasti akan diraikan  setiap sekolah di Malaysia. Tujuan menyambut Hari Guru adalah untuk meraikan mereka yang telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk mendidik para pelajar agar menjadi seorang insan yang berjaya dan berguna kepada bangsa, agama dan negara. Sekolah saya juga tidak ketinggalan untuk menyambut perayaan Hari Guru yang penuh bermakna walaupun serba sederhana.

           Pada 16 Mei yang lalu, sekolah saya telah menyambut Hari Guru dengan begitu meriah. Para guru perempuan dan lelaki memakai pakaian yang sungguh menawan dan segak belaka. Kami dapat menyaksikan wajah-wajah keceriaan yang tergambar pada setiap pendidik kami. Para pelajar juga tidak ketinggalan untuk menyambut Hari Guru. Tanpa paksaan,  masing-masing membawa hadiah yang pelbagai saiz untuk dihadiahkan kepada guru-guru mereka.

             Tepat pada jam 8.30 pagi, semua guru dan pelajar diarahkan masuk ke dewan untuk bersama-sama menyaksikan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan oleh para guru di sekolah kami. Dewan sekolah kami juga telah dihias cantik dengan kad-kad ucapan Hari Guru kepada semua guru dan belon-belon yang diikat cantik bergantungan pada setiap pintu dewan. Para pengawas yang menjadi jawatankuasa kerja kelihatan berbaris di sepanjang dewan dengan memegang sekuntum bunga mawar merah untuk dihadiahkan kepada setiap guru.

          Acara di dalam dewan bermula pada pukul 9.00 pagi. Acara yang pertama diadakan ialah memotong kek sempena hari guru secara beramai-ramai dan acara ini dibantu oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima. Kami terpegun melihat kek besar berbentuk angka sepuluh sebagai tanda ulang tahun sekolah yang berusia sepuluh tahhun. Selepas acara tersebut, para guru diminta untuk menyanyikan lagu sempena Hari Guru secara beramai-ramai tanpa menggunakan mikrofon. Para pelajar bersorak gembira mendengar nyanyian yang dipersembahkan oleh para guru.

          Setelah selesai melakukan aktiviti menyanyikan lagu Guru Malaysia, para guru  dibahagikan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan untuk melakukan aktiviti teka silang kata yang disediakan oleh pelajar Tingkatan Lima. Aktiviti ini berlangsung selama empat puluh minit dan markah diambil untuk memenangi hadiah yang disediakan. Kemudian, setiap guru diberikan sebiji buah epal dan sebilah pisau dan aktiviti membuang kulit epal tersebut tanpa henti dan tidak terputus.

            Aktiviti Hari Guru berkenaan diteruskan dengan eksplorasi yang dimainkan oleh para guru secara berkumpulan berdasarkan petunjuk yang diberikan. Aktiviti tersebut dilakukan di dalam kawasan sekolah yang jaraknya tidak jauh dari bangunan dewan supaya tidak memenatkan para guru  untuk mencari barang dikendaki. Ramai pelajar membantu para guru untuk cepat sampai di dalam dewan dan kira sebagai pemenang aktiviti tersebut..Aktiviti ini hampir menelan masa satu jam untuk semua guru melepasi cabaran yang diberikan.

             Setelah 1 jam 30 minit aktiviti di luar dewan dijalankan, para guru dan murid dibenarkan untuk keluar rehat. Tepat pada pukul 12.30 tengah hari, semua pelajar dan guru dikehendaki masuk ke dalam dewan semula untuk melaksanakan aktiviti yang seterusnya. Para pelajar juga telah membawa hadiah yang hendak diberikan kepada guru-guru mereka. Setelah para pelajar dan guru duduk di kerusi masing-masing, pengerusi majlis menyuruh pelajar yang terlibat dalam aktiviti persembahan lakonan dan sajak tampil ke atas pentas untuk melakukan persembahan mereka.

            Sekitar jam 12.30 tengah hari, lakonan yang disampaikan oleh wakil pelajar tingkatan empat telahberjaya mencuit hati guru dan para pelajar. Selepas babak lakonan dipersembahkan, aktiviti membalas pantun yang diwakili pelajar Tingkatan Tiga juga mendapat sorakan yang begitu gemuruh. Kemudian, pengerusi majlis membenarkan pelajar untuk menyerahkan hadiah yang ingin dihadiahkan kepada guru masing-masing. Setelah selesai, pelajar memberi hadiah kepada guru, pengerusi majlis mengumumkan pemenang yang memenangi aktiviti yang telah disediahkan.

            Menjelang jam 2.00 petang, puan Pengetua mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pelajar dan guru yang berjaya melaksanakan Hari Guru pada kali ini. Kemudian, semua pelajar dibenarkan pulang. Kami semua pulang ke rumah dengan perasaan yang gembira.

 

 

This entry was posted on February 11, 2013. 3 Comments

Mutu sukan negara masih perlu ditingkatkan (PMR 2011 soalan 4)

Piala Thomas, dan Piala Suzuki sentiasa menjadi  dan impian seluruh rakyat Malaysia dalam arena bola sepak dan badminton. Marcapada ini, aktiviti sukan banyak kini semakin mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat di negara kita. Hal ini berlaku demikian kerana kejayaan atlet-atlet negara menggenggam piala berkenaan telah berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia dalam bidang sukan. Namun demikian, secara umumnya mutu sukan di negara kita masih belum mencapai tahap yang membanggakan. Pelbagai usaha  perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi mutu sukan di negara ini.

Satu usaha yang perlu dilakukan ialah pihak sekolah perlu mewajibkan pelajar-pelajar agar aktif bersukan selaras  dengan konsep satu murid satu sukan. Secara tidak langsung, penyertaan murid-murid dalam bidang sukan akan dapat ditingkatkan. Pihak sekolah wajar mengenakan tindakan disiplin kepada mana-mana murid yang tidak melibatkan diri dalam bidang sukan kecuali murid-murid yang mendapat surat sakit daripada doktor. Sesungguhnya bersukan seharusnya dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.

Selain itu, pihak-pihak yang tertentu haruslah mengadakan kempen kebaikan bersukan kepada masyarakat. Kempen yang berkesan ialah kempen melalui media massa seperti televisyen dan akhbar. Dengan adanya kempen tersebut, necsaya masyarakat akan tertarik untuk menyertai sukan. Hal ini berlaku sedemikian kerana banyak kebaikan yang akan diperoleh masyarakat melalui aktiviti bersukan. Dengan bersukan, penyakit yang berpunca daripada berlebihan berat badan atau obesiti yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat akan dapat dikurangkan. Jelaslah di sini bahawa kempen dapat membantu dalam meningkatkan mutu sukan di negara ini.

Selain itu, pihak yang tertentu mestilah memberi insentif dan hadiah kepada para peserta yang menyertai pertandingan sukan. Keadaan ini akan menggalakkan lagi orang ramai untuk menyertai aktiviti-aktiviti sukan yang diadakan. Sebagai contoh, pemberian biasiswa sukan perlu  kepada murid-murid sekolah yang cemerlang dalam sesetengah jenis sukan. Di samping itu, pihak penganjur tidak seharusnya menaburkan janji-janji kosong kepada para peserta kerana akan menyebabkan para peserta tidak berminat untuk menyertai aktiviti-aktivit yang bakal diadakan.

Di samping itu, pihak kerajaan seharusnya menyediakan peralatan sukan yang secukupnya. Kelengkapan peralatan sukan akan membangkitkan semangat para pelajar untuk bersukan. Contoh  prasarana sukan ialah gelanggang, stadium, trek di samping peralatan seperti bola, jaring dan sebagainya. Di sekolah juga, perlu dilengkapkan dengan peralatan sukan yang secukupnya bagi menggalakkan pelajar-pelajar bersukan. Sekiranya peralatan tidak mencukupi, semangat pelajar yang ingin menyertai aktiviti bersukan akan menjadi kendur.

Konklusinya, banyak usaha yang perlu dilakukan agar mutu sukan negara dapat ditingkatkan. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan mutu sukan negara supaya dapat meningkatkan lagi kejayaan negara dalam bidang sukan. Sesungguhnya mutu sukan negara dapat ditingkatkan sekiranya kita semua sebagai rakyat di negara ini menggembleng tenaga bagi mencapai matlamat sukan untuk perpaduan dan sukan untuk semua. Majulah sukan untuk negara.