Contoh Karangan

INOVASI DALAM PERTANIAN KE ARAH JAMINAN BEKALAN MAKANAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA

Selayang pandang, sektor pertanian di Malaysia kini dilihat sebagai pemangkin utama dalam merancakkan perkembangan ekonomi negara. Mana tidaknya, pertanian membekalkan sumber keperluan makanan sebagai nadi kehidupan manusia. Aplikasi teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian mutakhir ini adalah penjana sebenar industri pertanian negara termasuklah dalam sektor perladangan, penternakan dan industri asas tani. Dahulunya, aplikasi teknologi dalam sektor ini dipandang sebelah mata, namun bagi merealisasikan kelangsungan negara sebagai peneraju utama bahtera beberapa jenis komoditi dunia, kerajaan Malaysia telah memperkasa bidang pertanian melalui penyelidikan dan inovasi yang dijalankan. Inovasi dalam pertanian ditakyinkan sebagai sesuatu kaedah yang baru diperkenalkan dalam bidang pertanian seperti bioteknologi, kultur tisu, mikroorganisme berkesan dan sebagainya yang dilihat mampu merancakkan sektor pertanian di negara kita setaraf dengan negara maju yang lain.
Apabila Kementerian Pertanian dijenamakan semula kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, hal ini menggambarkan betapa sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian mempunyai hubungan bagai isi dengan kuku yang saling melengkapi. Kerajaan memberi penekanan yang besar terhadap sektor perladangan yang boleh memberikan pendapatan besar terhadap ekonomi negara, khususnya perladangan kelapa sawit. Penubuhan MPOB atau Malaysian Palm Oil Berhad iaitu agensi kerajaan yang diasaskan untuk membangunkan penanaman sawit dengan barisan penyelidik dan tenaga pakar yang sentiasa menjalankan penyelidikan adalah tepat pada masanya. Kita akan saksikan pelbagai inovasi yang dihasilkan seperti Buah Tandan Segar (LBS) yang mengeluarkan minyak yang berkualiti bertaraf eksport. Apakah rahsia di sebalik penghasilan minyak berkualiti ini? Jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan melalui inovasi dalam teknik penanaman semula sawit, inovasi dalam memanipulasikan pengurusan nutrien sawit, formulasi semburan anti anasir perosak sawit dan impak pengaplikasian teknologi jentera yang cekap. Lihat sahaja kesan inovasi dalam perladangan kelapa sawit lebih gemilang berbanding perladangan komoditi lain seperti kelapa, koko, nanas, tebu dan sebagainya yang kurang mendapat suntikan teknologi bertaraf prima.
Sudah terang lagi bersuluh, bioteknologi dalam bidang pertanian merupakan satu inovasi yang amat membanggakan. Bioteknologi telah dikenal pasti sebagai skop penyelidikan yang terpenting ke arah transformasi pertanian. Kepakaran dalam pelbagai bidang bioteknologi pertanian seperti biologi molekul dan kejuruteraan genetik, merupakan bidang yang kini diberi penekanan yang bersungguh-sungguh menerusi Dasar Bioteknologi Negara. Dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Dasar Bioteknologi Negara ini dilihat sebagai satu platform yang memainkan peranan penting sebagai sumber ekonomi baharu negara. Menurut mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam majlis Pelancaran Kempen Bumi Hijau Peringkat Kebangsaan, “Bila bioteknologi dan ICT dicantumkan dalam pertanian, ia akan memberikan hasil yang lebih baik sementara kualiti produk kita akan lebih tinggi berbanding produk-produk lain di pasaran. Rentetan itu, tertubuhkan Biotechcorp Berhad yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi menjalankan kajian dan penyelidikan saintifik ke arah merealisasikan Dasar Bioteknologi Negara. Terserlahlah bukti bahawa inovasi amat penting demi masa depan negara yang lebih baik.
Seterusnya, umum mungkin belum pernah mendengar tentang teknologi EM. Teknologi EM atau mikroorganisma berkesan ini merupakan usaha untuk memanfaatkan seoptimum yang mungkin terhadap EM demi kebaikan manusia sejagat khususnya dalam memajukan sektor pertanian. Inovasi ini dilihat mampu memperkasa sektor pertanian di negara kita kerana lebih menjamin kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang. Kehadiran makhluk-makhluk seni ini disedari sebagai ‘makhluk baik’ yang memberi kebaikan pula kepada orang lain. Penyelidikan dan pembangunan teknologi EM ini diungguli oleh negara Jepun, namun Malaysia turut bertindak bijak dengan memanfaatkan mikroorganisme ini. Menerusi inovasi ini, terhasillah baja organik yang diproses dengan tinja haiwan seperti kambing, ayam dan lembu untuk dimanfaatkan dalam penanaman sayur-sayuran. Memang menakjubkan, kajian menunjukkan bahawa padi yang menggunakan baja organik meningkat sebanyak 10 peratus, ketahanan pada cendawan juga meningkat, sayur-sayuran hidup subur dan bunga-bungaan berkembang segar. Menariknya, penggunaan teknologi EM ini mewujudkan keseimbangan ekosistem iaitu bau busuk akibat timbunan najis di kandang haiwan ternakan semakin berkurangan.
Apabila menyebut tentang inovasi dalam pertanian, bagaimanakah kerajaan memanfaatkannya kepada penduduk yang tinggal di desa? Oleh itu, agensi kerajaan ditubuhkan untuk membawa teknologi baharu ke desa melalui kerjasama dengan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi. Hasil penyelidikan, terciptalah mesin-mesin untuk memproses hasil pertanian menjadi produk bernilai tambah yang memanfaatkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Sebagai contoh, Sirim Berhad berjaya mencipta mesin pemangkas jagung, mesin jangka mengkuang dan pandan, mesin memotong pisang, mesin pengisar baulu, mesin pembentuk keropok lekor, mesin pemerah dan penapis jus nanas. Ciptaan mesin yang unik ini juga membolehkan makanan diproses dengan lebih cepat, tahan lebih lama dan boleh dipasarkan ke seluruh negara. Nama anak tempatan iaitu Encik Zulkifli Haron perlu diiktiraf oleh kerajaan sebagai inventor negara. Sehingga kini, syarikat miliknya iaitu Zul Design telah berjaya mereka lebih daripada 200 ciptaan khusus untuk membangunkan industri desa. Konsep ciptaan Zul Design ialah mesin yang murah di samping dapat meningkatkan produktiviti. Impak positifnya akan memberi manfaat kepada penduduk desa sekali gus membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan beralih kepada peladang jaya. Hal ini cukup memberi bukti bahawa era ini, sektor pertanian amat memerlukan inovasi berbanding tenaga manual manusia yang kekuatannya terbatas apatah lagi dengan pertumbuhan pesat penduduk Malaysia yang kini menjangkau ke angka 27.5 juta orang.
Di samping itu, bidang penternakan membekalkan sumber protein yang utama kepada negara. Sedar atau tidak sebenarnya, inovasi telah lama dilaksanakan dalam bidang penternakan. Tanpa penyelidikan saintifik, negara tidak mampu membekalkan keperluan protein seperti ayam, kambing, lembu, dan ikan yang secukupnya. Oleh sebab negara masih kekurangan sumber daging, maka sebahagiannya terpaksa diimport dari negara jiran. Sungguh mendukacitakan! Oleh itu, kerajaan perlu bertindak lebih proaktif untuk memajukan sektor penternakan dengan menjalankan penyelidikan dan kajian dan melakukan transformasi. Satu inovasi yang telah diperkenalkan ialah teknik pengklonan haiwan yang menghasilkan baka haiwan ternakan yang lebih baik. Contohnya, melalui teknik kacukan baka-baka kambing terpilih, telah berjaya menghasilkan kambing Boer dan Germansia. Lembu berbaka baik dari India kini diternak lebih meluas. Haiwan lain seperti rusa, arnab dan burung emu semakin membiak di ladang ternakan. Rakyat Malaysia memerlukan inovasi dalam pengeluaran produk berasaskan daging seperti nuget, burger, sosej, bebola daging, sate, kebab dan sebagainya amat berpotensi untuk dibangunkan kerana produk makanan yang diproses ini menjamin bekalan makanan yang mencukupi malah mampu menembusi pasaran antarabangsa. Jadi, inilah masanya yang sesuai untuk meningkatkan lagi daya produktiviti apatah lagi Malaysia diiktiraf oleh OIC sebagai negara yang berpotensi sebagai hub-halal dunia iaitu negara yang mengeluarkan makanan halal utama di dunia.
Sebagai kesimpulannya, inovasi dalam pertanian kini amat penting dalam memberi jaminan terhadap bekalan makanan dan pembangunan negara. Sudah sampai masanya kita memberi tumpuan terdapat penyelidikan melalui pertandingan yang berunsur inovatif sejak di bangku sekolah lagi. Penekanan harus diberi terhadap kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif. Dengan itu, masa depan negara akan lebih cerah kerana sesungguhnya, Malaysia sebuah negara yang berinovasi.
(1056 patah perkataan)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s