Contoh Karangan – Inovasi dalam Pertanian

 INOVASI DALAM PERTANIAN KE ARAH JAMINAN BEKALAN MAKANAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA

 

Bidang pertanian kini menjadi sektor yang amat penting dalam menjamin  pembangunan ekonomi negara. Sektor ini amat penting bagi menjana pendapatan rakyat dan memastikan bekalan makanan di negara kita mencukupi. Namun, prestasi sektor pertanian kini kurang memberangsangkan kerana rakyat masih bergantung kepada bahan makanan import. Semua sedia maklum bahawa kos import bekalan makanan pastinya sangat tinggi. Tambahan pula, keperluan bekalan makanan meningkat seiring dengan pertumbuhan penduduk. Inovasi bermaksud sesuatu yang bersifat baru seperti kaedah, sistem dan perancangan selaras dengan kemajuan dan perkembangan negara. Inovasi dalam sekotor pertanian bermakna penemuan kaedah baru dalam sistem pertanian yang meliputi penanaman, penternakan dan perladangan. Memandangkan bilangan penduduk Malaysia kini yang sudahpun mencecah ke angka 27.5 juta orang, wajarlah inovasi atau idea baru dilaksanakan bagi memastikan bekalan makanan negara kita mencukupi sekali gus menjana pembangunan negara.

 

            Tahun 2010 telah diisytiharkan sebagai Tahun Inovasi dengan tema Malaysia Inovatif. Apakah ertinya inovasi seandainya tumpuan lebih diberikan kepada bidang teknologi dan pembangunan perindustrian? Oleh itu, kerajaan telah menyediakan infrastruktur yang dapat membantu pengusaha pertanian mendapatkan hasil yang banyak. Sememangnya, infrastruktur adalah sangat penting dalam pertanian. Kemudahan yang diperlukan seperti modal atau dana bagi kegunaan membeli jentera-jentera canggih dan memiliki tanah yang relevan untuk aktiviti pertanian. Selain itu, kerajaan juga seharusnya memberi kursus dan latihan bagi membimbing para pengusaha mendapatkan maklumat, ilmu dan teknik yang betul untuk menjalankan aktiviti pertanian yang diceburi. Hal ini demikian kerana segelintir masyarakat kita masih lagi dangkal dengan pertanian moden. Dengan adanya teknik dan cara yang baik dan sesuai, sudah pasti aktivit pertanian akan berjalan lancar iaitu mendapat hasil yang memuaskan. Dalam pada itu, tanah atau tapak pertanian juga perlu dititkberatkan. Kerajaan perlu membuka kawasan pertanian baru bagi membuka peluang kepada para pengusaha yang mempunyai masalah saiz ladang yang minimum untuk menjalankan pertanian dengan lebih kondusif. Maka dengan ini, penekanan terhadap penyediaan infrastruktur sememangnya perlu bagi memastikan pengusaha tidak mengalami masalah yang tidak sepatutnya berlaku. Dengan ini diharapkan pihak kerajaan mahupun swasta sama-sama memberikan kemudahan-kemudahan yang baik untuk kegunaan dalam sektor pertanian.

 

            Sementara itu, bagi memperoleh hasil pengeluaran yang maksimum dan produktif, kita perlukan teknologi yang serba canggih. Apa salahnya meniru teknologi dari negara luar yang boleh diaplikasi secara meluas di negara kita.   Bukanlah kita terlalu  bergantung sepenuhnya terhadap kepakaran orang luar, namun kita memerlukan teknik terkini untuk menjayakan sektor pertanian di negara kita melalui penggunaan kepakaran negara maju. Setelah itu agensi yang berkenaan perlu menggiatkan lagi penyelidikan dan terus mencari jalan baru ke arah pertanian yang berkesan. Mungkin sebelum ini kita terlalu bergantung kepada benih-benih tanaman dari luar negara, tapi negara kita semestinya boleh mencipta benih yang lebih baik dan efektif. Sesungguhnya, tiada apa yang mustahil kerana Malaysia boleh! Oleh itu, kerajaan perlu menjalinkan kerjasama dan mendapatkan khidmat bantuan negara luar. Satu contoh yang baik ialah teknologi penanaman sayur-sayuran yang ditiru dari negara Taiwan hasil daripada lawatan kerja mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ke negara tersebut. Sejurus itu, kajian yang menyeluruh telah dijalankan. Di samping kajian dan penyelidikan mengenai benih, kajian berkenaan sistem penanaman yang lebih produktif juga dijalankan.

 

           Bagi memperoleh hasil yang optimum, cara menguruskan pertanian perlulah bersifat mesra alam. Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah penggunaan baja kimia yang sering diguna pakai oleh petani pada saat ini. Baja semikian agak mempunyai kesan buruk terhadap tanaman seterusnya boleh membahayakan kepada yang memakan tanaman tersebut. Kurangkan penggunaan racun yang berbahaya supaya hasil tanaman yang diperoleh selamat, bermutu dan segar.  Maka, petani seharusnya mengamalkan teknik rawatan tanah, penggunaan baja yang selamat dan gunakan pemangsa semulajadi bagi menggantikan racun perosak. Di samping menjaga mutu tanaman, dalam masa yang sama kita turut menjaga ekosistem alam agar tidak tercemar dengan bahan-bahan yang merosakkan alam semula jadi. Tegasnya di sini, petani perlu mengamalkan pengurusan pertanian yang bersifat mesra alam.

 

            Selanjutnya, mari kita lihat perspektif yang sangat dekat dan penting iaitu untuk memupuk minat para belia kita yang kini semakin kurang meminati sektor pertanian ini. Pertanian sememangnya selalu dikaitkan dengan kemiskinan dan hanya tertumpu di luar bandar sahaja. Sektor ini juga dianggap ‘lembab’ kerana wujudnya persepsi bahawa sektor pertanian mundur dan memberi pulangan yang kurang berbanding sektor lain. Pemikiran remaja kita kini yang cetek sebegitu serba sedikit menjejaskan sektor pertanian ini. Oleh yang demikian, pemikiran sedemikian perlu diatasi dan pupuk minat para belia ini kerana tak kenal maka tak cinta. Pada peringkat persekolahan lagi, bidang pertanian amat dititikberatkan terutama sekali di peringkat menengah rendah melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup. Melalui mata pelajaran ini, pelajar didedahkan dengan pendidikan asas pertanian yang akhirnya akan menjurus kepada minat pelajar terhadap usaha untuk memaju dan memodenkan bidang in demi pembangunan negara. Hal ini tentunya sangat membanggakan jika kebanyakan pelajar mempunyai pengetahuan dalam hal-hal pertanian. Mungkin dari situlah minat itu timbul dengan sendirinya. Relevan juga rasanya jika mata pelajaran ini turut diajar di peringkat sekolah rendah. Hal ini  dapat memastikan pertanian terus berkembang pada masa yang akan datang.

 

            Bagi menggalakkan penyelidikan dan penemuan baharu dalam bidang pertanian dan industri asas tani, pertandingan yang berbentuk inovasi patut dijalankan dengan lebih menyeluruh. Hal ini demikian kerana rekaan yang terhasil bukanlah menjadi tontonan umum semata-mata sebaliknya dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Sebagai contoh, pertandingan mencipta mesin memproses produk pertanian mampu menarik lebih ramai penyelidik dan orang ramai mengusahakan sektor pertanian. Hasil ciptaan perlu dipatenkan dan dikomersialkan untuk dinikmati oleh masyarakat keseluruhannya. Encik Zulkifli Haron, misalnya banyak menghasilkan mesin yang memberi nilai tambah kepada produktiviti dalam bidang pertanian dan industri asas tani. Mesin kuih samprit, kuih goyang dan biskut dahlian ciptaannya mendapat tempat dan mampu menghasilkan kuih yang banyak dalam masa satu jam sahaja. Usahanya beliau wajar dipuji dan diberi pengiktirafan oleh kerajaan demi menggalakkan inovasi dalam bidang pertanian.

 

            Sebelum menutup tirai wacana ini, ingin saya katakan bahawa bidang pertanian ini boleh berkembang maju untuk bekalan makanan yang berterusan sekali gus menjadi enjin pembangunan negara. Pihak kerajaan perlu mengambil langkah yang berterusan bagi menjamin negara kita mempunyai sumber bekalan makanan yang secukupnya.    Marilah kita berkerjasama meningkatkan sektor ini. Jika semua pihak dan masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah sektor pertanian negara akan terus berkembang selari dengan perkembangan perindustrian ke arah mencapai Wawasan 2020.

(1008 patah perkataan)

 

NAMA                        : NOR AMINA BT MASDUKI

SEKOLAH                  : SMK CHERAS JAYA

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s