Sinopsis Novel Dari Lembah ke Puncak

BAB 1

Anak muda bernama Jalil masih tidur kerana bercuti hujung minggu. Mak Teh, ibunya menyediakan sarapan pagi yang lazat iaitu pulut tanak dan ikan kering. Jalil bangun pagi setelah terhidu harum ikan haruan bakar. Dia akan mengerjakan sawah peninggalan arwah Pak Teh dengan bantuan seekor kerbau yang diberi nama Awang. Arwah Pak Teh pakar membuat barang kraftangan seperti bubu, tuah dan kaut. Mereka berdua beranak sangat rajin melakukan kerja-kerja kampung seperti melagang nyiru, mencari daun rumbia, penyemai atap dan sebagainya. Namun begitu, kehidupan mereka masih daif kerana tanah yang mereka duduki tidak bergeran. Abangnya, Muhsin lari ke Kuala Lumpur dan tidak pernah mengirim wang kepada ibunya. Disebabkan miskin, Jalil kurang bercakap dengan orang-orang kampungnya. Keluarga Jalil terpaksa menempuh kehidupan yang sangat getir sehinggalah bapanya menghembuskan nafas terakhir.

 BAB 2

Seorang gadis bernama Biah atau Sabariah telah bertunang tetapi menjelang perkahwinannya dia melarikan diri ke Kuala Lumpur. Khabar angin mengatakan Biah dilarikan oleh Muhsin, abang Jalil. Semenjak peristiwa tersebut kawan-kawan Jalil mula menjauhkan diri terutama Kudin. Apabila Jalil cuba bertanya tentang kebenaran desas desus tersebut kepada Mak Teh, Mak Teh akan menengking dan marah. Muhsin merupakan anak kesayangan Mak Teh, dia bersekolah setakat tingkatan dua dan pernah ditangkap lalu dibuang sekolah. Muhsin juga dibelikan motosikal sehingga tergadai tanah kampung. Malangnya motosikal Muhsin dicuri.Mak Teh memarahi Jalil kerana dianggap memburuk-burukkan abang sendiri.Mak Teh bercadang untuk berjumpa bomoh Tok Su Dolah bagi membuktikan Muhsin tidak bersalah. Konflik terus berlanjutan apabila ada orang terjumpa kad pengenalan Biah di batas bendang menghala ke  Stesen Keretapi, Bukit Jenun.

 BAB 3

Biah dijumpai di rumah setinggan yang disewa oleh Muhsin di Kuala Lumpur. Mak Teh sungguh malu lalu berjumpa bomoh iaitu Tok Su Dolah untuk mengembalikan anaknya. Wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar yuran Jalil telah digunakan untuk membayar bomoh. Bagi Jalil, Biah seorang gadis yang baik, rajin dan boleh diharap dalam keluarga Pak Ngah Kadir. Mak Teh tidak lagi senang duduk. Jalil sering dimarahi gurunya, Miss Ong kerana tidak ke sekolah dan gagal membayar yuran. Jalil teringat peristiwa ayahnya yang tenat menunjukkan sesuatu pada kasau atap. Rupa-rupanya di celah kasau tersimpan songkok buruk yang mengandungi wang RM50. Wang itulah digunakan untuk membayar yuran SRP. Pulang dari sekolah, dia dibelasah oleh tiga orang pemuda dengan kejamnya. Suatu petang, Jalil duduk di permatang mengenang nasibnya yang malang sehingga dia menangis keseorangan. Dia kurang mempedulikan pelajarannya dan terpaksa mengerjakan sawah seorang diri. Ibunya bercadang untuk berpindah ke Guar Chempedak. Mak Teh ingin mengahwinkan Biah dengan Muhsin walaupun Jalil tidak setuju. Dengan pertolongan Pak Long Ayob, Mak Teh pergi ke rumah Pak Ngah Kadir untuk berunding. Belum pun sampai ke rumah Pak Ngah Kadir, Pak Long Ayob diserang dengan lading.

 

BAB 4

Mak Teh berkeras untuk berpindah ke Guar Chempedak dengan menumpang rumah Pak Long Ayob kerana terlalu malu. Jalil menentang ibunya kerana dia akan mengambil peperiksaan. Akhirnya, Mak Teh tetap berpindah, tinggallah Jalil seorang diri di rumah usang itu. Mak Teh menumpang di rumah Pak Long Ayob. Jalil tetap bersekolah demi mencapai cita-citanya. Setiap hari dia berbasikal ke sekolah dan pulang ketika lewat petang. Suatu petang, Jalil sangat terkejut melihat rumahnya tiada lagi dan yang tinggal hanyalah sampah bertaburan. Jalil sangat bersedih kerana rumah tempat dia berteduh tiada lagi. Jalil mengumpul sisa-sisa atap rembia untuk dijadikan alas tidur dan beg sekolahnya sebagai bantal. Dia bersandar di perdu pokok kelapa dara.

 BAB 5

Malang semakin berganda apabila hari semakin hendak hujan. Jalil kesejukan kerana hujan malam itu benar-benar lebat. Jalil segera mencari reban ayam untuk berlindung. Jalil terpaksa menjemur baju dan buku-bukunya dan terpaksa ponteng sekolah keesokan harinya. Jalil terkenang sejarah manis semasa bersekolah rendah iaitu dia tidak pernah mendapat nombor lain selain daripada nombor satu. Dia sering menolong ayahnya di sawah. Dia tidak pernah bersekolah arab kerana tidak mampu membayar yuran. Keesokan harinya, Jalil pergi ke Guar Chempadak  untuk bertanya kepada ibunya tentang keadaan tersebut. Menurut Mak Teh dia telah merobohkan rumah itu untuk didirikan di Banggol Lalang. Tapak rumah baru dibeli dengan menjual tanah mereka termasuk sawah dan tanah kampung. Jalil semakin tersepit dengan tindakan melulu ibunya.

 

Bab 6

Jalil membina sebuah pondok kecil dari kayu kayu lama dan daun daun rumbia. Anak-anak jiran memerhati gelagat Jalil mebina pondok kecil dari sempadan kampung. Dia menjemur buku-buku yang basah lencun akibat hujan malam hari. Pada suatu petang ketika sibuk mengerjakan sawah padi arwah bapanya Jalil ditegur oleh Haji Saad dan mengatakan bahawa tanah yang  Jalil duduki ini telah dijual oleh ibunya kepada Pak Amat saudara kepada Pak Lang Ali. Haji Saat berterus terang dengan Jalil yang tanah itu dijual dengan harga murah. Jalil pergi berjumpa dengan Pak Lang Ali dan memohon untuk membawanya berjumpa Pak Amat yang membeli tanah pusaka arwah ayahnya itu. Wasiat  untuk mendapatkan tanah pusaka itu sangat besar. Jalil menyanjung tinggi dan kagum atas usaha titik peluh bapanya untuk mendapatkan tanah itu. Jalil nekad untuk merampas kembali harta pusaka milik arwah bapanya. Jikalau dia gagal untuk mendapatkannya kembali dia pasti akan menyesal seumur hidupnya. Jalil cuba bertahan untuk duduk di situ dan cuba untuk mempertahankan tanah pusaka itu. Demi wasiat bapanya itu, Jalil tidak kisah masa bujangnya terbuang begitu sahaja.

 BAB 7

Berdasarkan panduan yang diberikan oleh Pak Lang Ali , Jalil bergegas ke rumah Pak Amat dengan menaiki basikalnya. Dia memperkenalkan diri kepada Pak Amat dan menanyakan tentang tanah pusaka yang dibeli oleh Pak Amat.Pak Amat mengakui bahawa dia yang membeli tanah pusaka itu dari Pak Lang Ali , terdetik di hati Jalil bahawa Pak Amat seakan akan mengambil kesempatan ke atas Mak teh ibunya yang sangat terdesak. Jalil membuat perjanjian dengan Pak Amat bahawa dia akan membeli kembali tanah pusaka itu selepas 5 hingga 10 tahun nanti.Dia meminta izin Pak Amat untuk terus duduk di tanah itu buat sementara waktu dan akan berpindah jika Pak Amat mahu mengerjakan tanah itu. Katanya, Jalil akan mula bekerja selepas tamat sahaja persekolahannya dan akan cuba mengumpul wang untuk menebus balik harta arwah bapanya itu berdasarkan kaedah ‘jual janji’. Jalil pulang ke rumah. Petang itu Jalil pergi merayau-rayau di tepi sawah padi sebelum sampai ke rumah.Dalam fikiran Jalil, dia ingin mula menanam benih benih padi.Dia akan usahakan semua tu diatas kakinya sendiri kerana tiada siapa lagi yang mahu membantunya kerana Mak Teh telah pun pergi meninggalkan kampung.Kini Jalil terikat dengan dua perjanjian iaitu perjanjian dengan arwah bapanya untuk mempertahankan tanah pusaka itu dan perjanjian di antara Pak Amat untuk merebut kembali tanah itu .

 BAB 8

Tanah itu maruah bagi Jalil. Pak Teh yang berasal dari Besut telah datang ke Kedah untuk mengambil upah membanting padi. Setelah selesai kerja membanting, Pak Teh membuka kawasan lembah di Bukit Nibung.Usaha Pak Teh itu kemudiannya diikuti oleh orang-orang tempatan. Berbelas-belas tahun kemudian, tanah paya itu menjadi sawah. Penduduk luar mula datang ke kampung itu. Pak Teh hampir berparang dengan Ah Tong yang menceroboh tanahnya. Mujurlah Ah Yau yang telah lama tinggal di situ menyabarkan Pak Teh. Ah Yau menyelesaikan masalah itu dengan Ah Tong. Pak Teh telah beberapa kali berurusan dengan Pejabat Tanah Pendang untuk mendapatkan geran tanah, tetapi permohonan itu tidak pernah diproses sehingga Pak Teh meninggal dunia.Sebelum meninggal dunia, Pak Teh telah berpesan kepada Jalil untuk menguruskan tanah pusaka itu sehingga mendapatkan geran. Pesan bapanya itu menjadi amanat yang perlu dilaksanakan.

 BAB 9

Petang itu, ketika Jalil duduk seorang diri di pangkal pokok kelapa, Latifah, anak gadis bongsu Pak Lang Ali yang tinggal berhampiran dengan  rumah Jalil telah mengunjungi Jalil. Latifah memberitahu bahawa tanahnya telah dijual dengan harga lima ribu sahaja. Pak Lang Ali mengambil untung dalam keadaan MakTeh yang terdesak. Jalil amat terkejut kerana menurut pengetahuannya, tanah itu dijual dengan harga sepuluh ribu ringgit. Jalil tidak dapat tidur lena malam itu. Esoknya, dia pergi ke sekolah seperti biasa. Pulang dari sekolah, Jalil mendapati sebungkus makanan tersangkut pada tiang pangkin. Nasi berlaukkan kari ikan haruan itu dikirimkan oleh Latifah. Jalil terlalu sedih mengenangkan nasibnya. Dia makan separuh sahaja kerana tidak berselera walaupun makanan itu amat enak baginya.

 BAB 10

Seperti biasa, selepas mengulang kaji pelajaran, Jalil terus ke sawah untuk mengerjakan bendangnya. Jalil sentiasa teringatkan pesanan arwah ayahnya untuk mendapatkan geran tanah. Jalil amat kasihankan Awang yang banyak berjasa kepadanya tetapi tidak mempunyai kandang. Malam itu, ditambatnya Awang di tepi dangaunya. Namun menjelang tengah malam tiba-tiba dangaunya bergoyang angkara kerbaunya sehingga dinding dangaunya terkopak. Keesokannya, Jalil membina kandang buluh yang berbumbung untuk perlindungan kerbaunya.

BAB 11

Kampung itu mempunyai sebuah surau yang tidak lagi Jalil kunjungi semenjak kematian ayahnya. Di surau itu, setiap tahun penduduknya akan mengadakan gotong royong menyediakan bubur asyura sempena kedatangan awal Muharam. Disebabkan surau malam itu amat terang, Jalil tergerak hati untuk mendekati surau itu. Dia ternampak Pak Lang Ali, Tok Mat Ketua, Ustaz Megat dan Pak Ngah Kadir sedang mengadakan mesyuarat. Mereka membincangkan sesuatu tentang dirinya. Pak Ngah Kadir merancang untuk mengusirnya dari kampung itu. Ustaz Megat menyuarakan rasa simpati kepadanya kerana dia akan mengambil peperiksaan tahun ini.  Tok Mat Ketua menyuruh Pak Ngah Kadir bersabar. Selesai bermesyuarat, Pak Ngah Kadir menghala ke dangaunya. Jalil bersembunyi di sebalik pangkal pokok kelapa dara.

BAB 12

Jalil menjalani zaman remajanya tidak sama seperti remaja yang lain. Dia memikul tanggungjawab yang berat untuk memenuhi pesanan arwah bapanya kerana  dia telah berjanji pada arwah pak teh. Tiba-tiba Jalil teringat sewaktu arwah Pak Teh masih hidup, dia seorang yang kuat bekerja.selepas menuai, Pak Teh akan pergi ke sawah untuk menangkap burung. Pada musim kering, dia akan mencari ikan di darat dan pada musim kemarau pula Pak Teh akan menoreh getah. Dulu jalil mempunyai ramai teman, mereka selalu datang ke rumah Pak Teh untuk membuat wau dan gasing, tetapi sekarang semuanya tidak seperti dulu lagi. Suatu hari, ketika Jalil meneruskan tugasnya ke sawah tiba-tiba Jalil terpijak kaca. Dia tahu, kejadian itu telah dirancang oleh orang yang seseorang yang memusuhinya. Kudin, anak Pak Ngah Kadir sentiasa tidak senang hati kepadanya. Jalil kesakitan tidak terperi, dia mengambil gula dan kopi untuk ditampal kepada luka di kakinya. Sedang jalil merawat lukanya, Latifah mengunjungi Jalil. Latifah terkejut dan pulang semula mengambil ubat untuk membantu Jalil merawat luka nya. Adunan gula dan kopi dibuang dan dan kain buruk digantikan dengan plaster. Jalil tidak dapat ke sawah berhari-hari kerana kecederaan tersebut.

Bab 13

Dalam perjalanan ke Pekan Bukit Jenun, Jalil telah bertemu dengan Biah. Biah telah meminta maaf kerana menyebabkan keluarganya porak peranda dan memberitahu Jalil bahawa Muhsin tidak bersalah. Biah juga memberitahu bahawa dia telah hamil ketika melarikan diri. Biah enggan berkahwin kerana perasaan cintanya hanya kepada Muhsin. Jalil terus bingung dengan pengakuan Biah. Di pekan Bukit Jenun, Jalil langsung tidak membeli apa-apa. Ketika melalui rumah Biah, kedengaran suara Pak Ngah Kadir memarahi Biah dan jeritan Biah yang jelas enggan berkahwin.

BAB 14

 Keluarga Pak Ngah Kadir masih mengancam Jalil. Kudin mengupah anak-anak muda menyekatnya ketika pulang dari sekolah. Suatu hari, Jalil ke kedai Ah Bee untuk membeli barang keperluan. Pulang dari kedai, Jalil telah ditahan oleh Rosman dan beberapa orang rakannya di jalan. Jalil tahu , Rosman berkawan rapat dengan Kudin. Rosman menuang minyak tanah yang baru dibeli oleh Jalil. Jalil semakin berang dan mulai bertindak balas apabila Rosman cuba mengganggunya. Jalil mengacukan serpihan botol kaca ke arah Rosman. Rosman dan kawan – kawannya lari dalam keadaan ketakutan. Malam itu,  Jalil terpaksa bergelap kerana pelitanya tiada minyak tanah. Latifah mengunjungi Jalil dalam gelap. Kemudian , Latifah mengambil minyak tanah di rumahnya dan diberikan kepada Jalil untuk menyalakan pelitanya. Keluarga Pak Lang Ali sudah mengetahui tentang hubungan antara Latifah dengan sepupunya, Jalil. Kejadian petang hari melibatkan Rosman turut diketahui oleh Pak Lang Ali. Jalil dikatakan menunjuk samseng, dan Biah cuba membela Jalil. Pak Lang Ali melarang Latifah menemui Jalil lagi.

BAB 15

Persiapan kenduri kahwin Biah telah pun bermula. Jalil tidak dijemput untuk datang ke majlis perkahwinan Biah. Majlis kenduri itu dilakukan secara bergotong-royong melibatkan semua orang kampung. Ketika mengenang dirinya yang malang dan dipulaukan oleh orang- orang kampung,  Latifah datang dengan membawa nasi dan lauk kenduri perkahwinan Biah. Menurut Latifah, Biah yang menyuruhnya menghantarkan makanan itu kepada Jalil.  Jalil mendapati, ada surat yang terselit di bawah pinggan makanan yang dihantar oleh Latifah. Jalil membaca surat yang ditulis oleh Biah . Biah memberitahu bahawa dia menjadi mangsa sumbang mahram . Dia terpaksa berkahwin dengan sepupunya sendiri untuk menutup aib yang menimpa keluarganya. Jalil masih tidak tahu siapa yang menganiayai Biah.

BAB 16

Sahabat-sahabat Jalil seperti Roslan, Din Lebai Kob, Mat Zain, Lias dan Shafie sudah menjauhkan diri daripada Jalil kecuali Mat Tohid yang berpenyakit sawan babi. Jalil pernah mengurut Mat Tohid yang pernah menumbuk Ustaz Megat sewaktu majlis kenduri. Mat Tohid sakit semenjak berusia 12 tahun setelah terjatuh dari pokok kelapa ketika memanjat pokok untuk mengambil anak burung tiung. Bapa Mat Tohid menyangka dia disampuk makhluk halus. Suatu hari, Mat Tohid datang berjumpa Jalil dan mengajaknya memancing, namun Jalil keberatan kerana tiada siapa yang akan memasak ikan untuknya. Mat Tohid memujuk Jalil dan mengerti keadaan Jalil, namun Jalil tetap memberi pelbagai alasan. Tiba-tiba, Jalil terdengar ketukan kentung di surau yang lazimnya dibunyikan apabila ada kematian. Mat Tohid dikhabarkan meninggal dunia di sungai, dan Jalil amat berasa bersalah kerana enggan menemani Mat Tohid memancing. Jalil menggagahkan dirinya menziarahi jenazah Mat Tohid.

BAB 17

Jalil mengenang kembali sifat terburu-buru ibunya yang menyebabkan sebahagian tanah mereka tergadai ke tangan Pak Cik Jid. Pernah tanah mereka dijual dengan harga RM1200 namun bayaran yang diterima hanya separuh.  Wang tersebut digunakan untuk membayar muka motosikal Muhsin. Sehingga Pak Teh meninggal, sebahagian bayaran tidak diterima kerana Pak Teh masih gagal mendapatkan geran tanah. Sikap terburu-buru Mak Teh menyusahkan Jalil sehingga tergamak merobohkan kediaman mereka dan menjual tanah mereka dengan harga Cuma RM5,000. Jalil berjumpa ibunya untuk bertanya tentang wang tersebut namun ibunya telah menggunakan wang untuk membina rumah baru dan meminang gadis Yan untuk Muhsin. Jalil amat terkejut kerana hantaran untuk bakal isteri Muhsin berjumlah RM3000 sedangkan ibunya tidak lagi berduit. Beberapa minggu kemudian, ibunya memanggilnya untuk mengajaknya ke Kuala Lumpur. Muhsin ditangkap khalwat dan terpaksa berkahwin malam itu juga. Wang hantaran untuk gadis Yan itu hangus begitu sahaja dan Jalil terpaksa meminjam wang daripada Pak Lang Ayob untuk membeli tiket bas ke Kuala Lumpur. Jalil kecewa dengan sikap abangnya yang sering menimbulkan masalah sejak dahulu termasuk pernah memecah masuk kedai Ah Bee.

 BAB 18

Hanya Latifah yang mengagumi Jalil yang ternyata berlainan sifat berbanding Muhsin. Namun begitu, Latifah menyembunyikan perasaannya. Kakak Latifah, Hasnah dan Fauziah menyindir Latifah kerana mengetahui rahsia hatinya. Ibu Latifah, Mak Tiah tidak menghalang perhubungan mereka, namun tidak dapat berbuat apa-apa. Suatu pagi, Latifah terlewat keluar sehingga terlepas bas sekolah dan bas biasa. Latifah ternampak Jalil mengayuh basikal dan meminta Jalil menumpangkannya. Jalil keberatan, namun terpaksa kerana Latifah akan mengambil ujian hari itu. Latifah memuji keindahan kampung mereka, namun bagi Jalil tidak bermakna. Latifah memberi semangat kepada Jalil untuk terus menuntut haknya. Jalil menurunkan Latifah agak jauh bagi mengelakkan Latifah berasa malu dilihat orang menumpang basikal buruknya.

BAB 19

Tarikh akhir pembayaran yuran peperiksaan sebanyak RM150 semakin hampir. Jalil masih belum membuat bayaran. Jalil teringat kembali peristiwa dia meminta baki hutang daripada Pak Cik Jid, namun masih tidak dibayar. Jalil pernah masuk ke Sekolah Menengah Teknik, tetapi terpaksa kembali ke sekolah lama kerana tidak mempunyai wang belanja. Fikiran Jalil masih berkecamuk untuk mendapatkan wang yuran tersebut. Dia merancang untuk meminjam dengan Ah Bee, memohon bantuan daripada pihak sekolah atau berhenti sekolah dan menjadi petani. Tiba-tiba Latifah datang menyapanya dan menghulurkan sampul surat berisi wang. Wang itu pemberian bapanya, Pak Lang Ali yang bersimpati dengan nasibnya. Cikgu Razi yang memberitahu Pak Lang Ali bahawa Jalil belum menjelaskan yuran. Latifah mendesak bapanya membantu Jalil bahkan sanggup mengeluarkan wang simpanannya jika ayahnya enggan membantu Jalil. Sejak itu, Jalil amat menghargai segala bantuan Latifah. Resit bayaran diserahkan kepada Latifah sebagai bukti.

 BAB 20

Kehidupan Jalil semakin hari semakin bertambah malang. Jalil kehilangan sesuatu yang penting dalam hidupnya iaitu rumah usang arwah bapanya. Namun, Jalil tidak pernah berputus asa. Mak Teh langsung tidak pernah menjejakkan kaki kembali ke Bukit Nibung itu. Hanya Jalil sahaja yang menemui ibunya di Guar Chempedak. Yuran SPM Jalil diberi oleh Pak Lang Ali melalui Latifah, anak bongsunya. Latifah sering berkunjung ke rumah Jalil. Pak Lang Ali hanya mengingatkan Latifah agar menjaga kelakuannya. Mak Teh mula mendirikan rumah baru di tanah menantu Pak Long Ayob. Mak Teh sentiasa memujuk Jalil supaya berpindah dan tinggal di Guar Chempedak. Tetapi, Jalil keberatan. Mak Teh terpaksa bekerja di kebun sayur milik pekebun Cina. Masa terus berlalu jua. Akhirnya, Jalil menduduki SPM. Selepas sahaja selesai SPM Jalil bertekad membawa diri ke Kuala Lumpur atau kemana – mana sahaja. Jalil ingin menjual Awang kepada Ah Bee tetapi Ah Bee tidak membelinya. Bapa Ah Bee, mendiang Ah Yau amat terhutang budi kepada Pak Teh yang pernah menyelamatkannya pada zaman darurat. Jalil memajak sawahnya kepada Ah Bee dengan bayaran sebanyak empat ratus ringgit.

BAB 21

Hari ini Jalil akan ke Tanjung Setul untuk bertemu dengan Pak Samad. Dia ingin menyerahkan Si Awang untuk dijaga oleh orang tua itu. Jarak Tanjung Setul dengan Bukit Nibong boleh tahan juga jauhnya. Dia akan melalui kebun getah tinggal, jalan tahan merah dan di sebelah jalan tanah merah itu terletak kubur arwah bapanya. Dia menziarahi pusara itu dan dia masih ingat kubur arwah Pak Teh walaupun kubur itu tidak bernisan maka dia membeli batu nisan yang murah dengan menggunakan duit yang diberikan oleh Tauke Ah Bee. Si Awang diterima oleh Pak Awang. Tetapi tidak dibeli kerbau itu, sekadar dijaga sahaja. Jalil tidak sanggup meninggal Awang. Jalil berlari dan memeluk leher kerbau jantan itu. Sebelah petangnya pula dia ke Guar Chempedak untuk memberitahu Mak Teh yang dia membuat keputusan untuk ke Kuala Lumpur. Jalil membakar pondok buruk yang pernah didiaminya hingga rentung. Pak Lang Ali terasa terkilan kerana Jalil membakar semuanya. Akhirnya, Jalil meninggalkan kampung itu.

 

BAB 22

Jalil tiba di Kuala Lumpur yang begitu asing baginya. Berbekalkan sedikit wang, Jalil berusaha mendapatkan pekerjaan. Jalil berjalan menyusuri Pasar Budaya dan singgah di gerai seorang pelukis. Jali berhenti dan merasakan darah seninya masih ada. Jalil tahu bermain gendang silat suatu ketika dahulu. Pelukis itu bertanya Jalil pelbagai soalan kerana mengagak Jalil memang baru tiba dari jauh. Jalil berkenalan dengan  Joe di gerai itu. Tiba-tiba seorang pelanggan wanita seakan-akan Latifah meminta wajahnya dipotretkan. Disebabkan pemilik gerai itu sibuk, Jalil mencuba melukis wajah gadis itu, ternyata Jalil memang berbakat. Joe memujinya dan berpendapat bahawa Jalil boleh mencari rezeki di kota berbekalkan bakat semula jadinya itu. Joe terus menawarkan tempat tinggal dan pekerjaan sebagai pembantunya kerana Jalil masih belum mempunyai tempat tinggal. Tiga bulan berlalu dan keputusan peperiksaan akan diumumkan, namun Jalil keberatan untuk pulang melihat keputusan peperiksaan. Jalil menyedari bahawa perawakan Joe bukan menggambarkan keperibadiannya yang luhur. Joe memujuk Jalil untuk pulang kerana mungkin keputusan SPM yang baik boleh mengubah hidupnya. Jalil mengemukakan pandangan agar mereka mengembangkan perniagaan dengan mencari pelanggan. Memandangkan keputusan SPM sudah keluar dan Jalil mendapat keputusan cemerlang, Joe menasihati Jalil agar melanjutkan pelajaran sambil bekerja.

BAB 23

Jalil mengemukakan kertas kerja yang dihasilkan oleh pakar dan mencari pelanggan di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur. Hasilnya, Joe mendapat tawaran yang lumayan untuk membekalkan lukisan ke hotel-hotel. Bagi Joe, kedatangan Jalil membawa rahmat dan rezeki yang melimpah. Joe menasihati Jalil untuk pulang mengambil dokumen peperiksaan dan berjumpa ibunya. Jalil akur akan nasihat Joe dan pulang ke kampungnya beberapa hari. Jalil terputus hubungan dengan Latifah kerana berjanji tidak akan ke Bukit Nibung selagi belum tercapai niatnya untuk menebus kembali tanahnya. Ibunya memberikan alamat Muhsin, Jalil sekadar mengambil alamat abangnya demi menjaga hati Mak Teh.

BAB 24

Setelah beberapa lama, Jalil berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM10,000. Minggu depan, Jalil bercadang untuk pulang ke kampung. Jalil mengajak Joe, tetapi Joe mempunyai tugasannya sendiri dan enggan masuk campur. Jalil memujuk Joe kerana Joe mampu memberi semangat kepadanya. Jalil dan Joe tiba di kampung dan melintasi rumah Pak Ngah Kadir. Jalil menunjukkan tapak rumahnya kepada Joe. Mereka sampai ke rumah Pak Alang Ali dan memberi salam. Mak Tiah terkejut dan memberitahu bahawa Pak Lang Ali ke bendang. Jalil berjumpa Pak Lang Ali di bendang dan memberitahu tujuannya.  Pak Lang Ali menyuruh Jalil ke rumah Pak Amat sendiri. Sebaik sampai ke rumah Pak Amat, Pak Amat meminta  bayaran yang lebih kerana nilai tanah sudah naik. Pak Amat enggan menyerahkan tanah dengan harga RM10,000 dengan pelbagai alasan termasuk sudah memiliki geran. Jalil hairan bagaimana mudah dalam masa dua tahun sahaja geran sudah diperoleh. Pak Amat meminta RM50,000 untuk tanah itu dan amat kecewa kerana Pak Amat memungkiri janji. Baginya gadai janji amat berbahaya.

BAB 25

Semangat Jalil semakin membara dan Jalil beruntung kerana dia paling berjaya dalam keluarganya. Kakaknya kahwin seawal 16 tahun dan berpindah ke Sarawak mengikut suaminya seorang askar. Jalil tetap berazam untuk mendapatkan kembali tanah wasiat ayahnya. Suatu hari, Jalil memerhatikan sekumpulan kanak-kanak sekolah berpakaian uniform yang turun dari LRT. Jalil terserempak dengan seorang tua yang bermain muzik untuk mendapatkan rezeki. Menurut lelaki tua itu, dia merupakan bekas askar yang cedera. Anak-anaknya terlibat dengan dadah. Jalil mendapat idea untuk menyediakan kertas kerja yang besar untuk perkhidmatan menggunting rambut dengan kerjasama bekas perajurit. Setelah berbulan-bulan berusaha berjumpa pelbagai pihak dan mendapatkan data, akhirnya mereka dipanggil oleh menteri untuk merealisasikan projek. Setiap ibu bapa akan membayar RM18 untuk perkhidmatan menggunting rambut selama setahun. Keuntungan projek berkenaan dianggarkan jutaan ringgit.

BAB 26

Jalil meneruskan pengajiannya di UPM dalam jurusan Landskap dan Seni Taman. Keputusan yang cemerlang peringkat diploma membolehkan Jalil ditawarkan ke peringkat ijazah hanya setahun berikutnya dengan biasiswa. Jalil dan Joe masih bersahabat sebagai rakan niaga. Joe menubuhkan Syarikat Alam Hijau bagi membolehkan operasi perniagaan lebih konsistan. Syarikat Alam Hijau mendapat royalti hasil daripada projek gunting rambut negara. Jalil mengharumkan nama universiti kerana berjaya menghasilakan rekaan landskap terbaik untuk bangunan korporat terkenal. Tamat pengajian, Jalil memohon mendapatkan lesen kontrak seni taman dan landskap.Kedudukan kewangan semakin mantap. Jalil mengusahakan perniagaan dalam bidang seni taman dan landskap walaupun mendapat pelbagai tawaran pekerjaan. Beberapa tahun kemudian, Jalil berjaya menubuhkan beberapa anak syarikat yang kebanyakannya diberi nama Nibung seperti Nibung Construction, Nibung Dekor, dan Syarikat Pengangkutan Nibung dan Jalil sebagai CEO. Menteri Perdagangan Dalam Negeri mengucapkan tahniah kepada Jalil setelah menerima anugerah CEO of the Year.

BAB 27

Wisma Seri Nibung dikunjungi rama kerana Syarikat Alam Hijau sedang mencari pekerja baru sebagai pegawai akaun. Latifah datang menjalani sesi temu duga. Jalil amat terkejut akan kedatangan Latifah. Latifah juga tergamam melilaht Jalil lantas ingin berlalu tetapi Jalil menghalang. Jalil terus menawarkan jawatan tersebut setelah Latifah berhasrat menarik diri. Jalil mengimbas kembali pengalaman peritnya di kampung dahulu, dan memujuk Latifah untuk bekerja di situ. Latifah bersetuju dengan tawaran tersebut dan terkenang ketika Jalil kembali ke kampung, dia tiada kerana melanjutkan pelajaran ke asrama.

BAB 28

Perasaan Jalil terhadap Latifah semakin mendalam. Jalil terkenang zaman mudanya di kampung. Jalil bimbang Latifah sudah berkahwin kerana usia sedemikian kebiasaannya gadis akan berkahwin. Latifah memiliki wajah yang cantik dan berpendidikan pula. Lamunan Jalil terhenti setelah Joe menegurnya. Jalil bertanya Joe mengapa dia tidak berkahwin. Joe menjelaskan bahawa isterinya meninggal dunia kerana kanser. Jalil bercerita kepada Joe tentang kebaikan Latifah.

BAB 29

Latifah memulakan tugasnya sebagai pengurus akaun. Hubungan mereka semakin mesra. Latifah memberitahu Jalil bahawa, setelah pemergian Jalil banyak perkara berlaku di kampung. Biah diceraikan kerana hamil anak orang lain. Pak Ngah Kadir mengamuk dan menuduh Muhsin bertanggungjawab. Sebenarnya Pak Ngah Kadir yang melakukan perbuatan terkutuk terhadap Biah anaknya sendiri. Biah melarikan diri dan Pak Ngah Kadir ditangkap polis. Keadaan kampung makin usang, anak-anak kampung mencari rezeki di bandar. Latifah ke Universiti of Edinburgh selama 7 tahun. Isteri Pak Ngah Kadir sakit jiwa.

BAB 30

Syarikat Alam Hijau semakin maju sehingga disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur. Suatu mesyuarat Lembaga pengarah diadakan untuk membincangkan projek besar bernilai RM50 juta. Projek Taman Tema Lembah Nibung akan diadakan melibatkan seluruh kampung Bukit Nibung. Jalil akan membeli semua tanah di kampungnya dan membayar pampasan yang sepatutnya. Latifah kurang setuju dan berjumpa Jalil untuk menyuarakan pandangannya kerana melibatkan tanah orang-orang kampung. Latifah akur setelah mendapat penjelasan Jalil.

BAB 31

Di surau kampung, Joe memanggil orang-orang kampung untuk mengadakan mesyuarat. Sebaik memulakan ucapan, Kudin abang Biah memprotes dan mempengaruhi orang-orang kampung agar tidak menjual tanah masing-masing. Joe menjelaskan bahawa kawasan tanah di situ akan dibina taman tema air untuk tujuan pelancongan. Dari lembah ke bukit akan dibina kereta kabel. Tok Mat Ketua memberi gambaran bahawa taman itu berunsur negatif kerana bertujuan untuk hiburan. Anak-anak kampung akan diberi peluang pekerjaan yang banyak. Satu kompleks kediaman akan dibina bagi menempatkan semula penduduk kampung. Joe merahsiakan nama tuan punya syarikat yang merupakan anak kampung itu juga. Hasil undian, majoriti bersetuju kerana tanah tersebut tidak lagi produktif. Beberapa minggu kemudian Joe berjaya mendapatkan tandatangan perjanjian jual beli tanah. Penduduk kampung terkejut melihat Jalil muncul dengan kereta mewah. Pada mulanya Kudin membantah tetapi niat Kudin akhirnya bantut dengan penjelasan Jalil.

BAB 32

Perancangan Jalil berjalan dengan baik. Jalil mengambil cuti untuk pulang ke kampung. Jalil menziarahi kubur arwah bapanya. Jalil berjumpa Ah Bee yang sudah cacat akibat kebakaran di kedainya. Jalil berbicara pada kubur arwah bapanya untuk mendapatkan restunya dan memberitahu bapanya bahawa dia telah berjaya membeli seluruh tanah penduduk kampungnya. Menjelang malam, Jalil meninggalkan kubur ayahnya. Jalil kemudian mengunjungi rumah ibunya di Banggol Lalang. Ibunya menyangka Muhsin yang pulang. Jalil menginap di rumah ibunya yang serba kekurangan.

 BAB 33

Kejayaan Jalil menghampiri kemuncaknya. Setiap pemilik tanah mendapat bayaran sebanyak RM1,00 000 bagi sehektar tanah untuk membangunkan Taman Tema Nibung Park. Penduduk kampung dipelawa bekerja di taman tema itu. Jalil merancang untuk membina pejabat operasi di tapak rumahnya dahulu. Latifah memuji Jalil kerana telah mengubah wajah kampungnya secara besaran. Penduduk kampung puas hati kerana mendapat bayaran lumayan.

BAB 34

Persiapan untuk perasmian Taman Tema Nibung Park itu berjalan dengan lancar.di sepanjang jalan juga terdapat ratusan pemuda-pemudi dan kanak-kanak berbaris menyambut kedatangan tetamu. Inilah julung-julung kalinya kampung lembah di antara Bukit Nibung dengan Bukit Jenun itu keihatan begitu meriah.Usaha membangunkan tanah terbiar dan kampung usang itu kini menampakkan hasil memandangkan lokasi kawasan taman tema itu terletak di antara dua buah bukit yang sama ketinggiannya, maka kenderaan skyrail sangat sesuai dibina. Belum ada kemudan rekreasi seumpama itu yang dibina di negara ini. Roller coaster yang dibina di kaki Bukit Jenun adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara dan pelbagai kemudahan lagi yang disediakan. Sebahagian besar pekerja di taman tema itu terdiri daripada anak tempatan. Mereka bekerja dalam pelbagai sektor yang menjanjikan pendapatan yang lumayan. Dalam  ucapan perasmian pembukaan Taman Tema Nibung Park, Jalil turut memberi penghargaan yang tinggi buat ibunya, Mak Teh yang sangat berjasa dalam hidupnya. Kini Jalil yang membawa kembali maruah keluarganya yang tercalar. Sebaik sahaja majlis perasmian disempurnakan, Jalil pergi melawat kubur bapanya yang sudah lama ditinggalkannya.

BAB 35                                                                                                                                               Taman Tema Nibung Park menjadi sebuah manifestasi perjuangan yang sangat panjang. Jalil kini berada di puncak kejayannya. Jalil melamar Latifah. Latifah menunjukkan resit bayaran SPM yang sudah usang tetapi masih tersimpan. Jalil sudah mengakhiri zaman bujangnya dalam usia lewat tiga puluhan bersama gadis yang banyak membantunya semasa Jalil ditimpa kesusahan. Hubungannya dengan Latifah seperti tertulis ketentuannya, bagi Jalil gadis bernama Latifah memiliki segala-galanya sebagai seorang wanita. Kenangan selama ini bersama Latifah membuatkan Jalil mengetahui sifat, dan perangainya yang lebih mesra berbanding kakaknya, Hasnah dan Fauziah. Mereka menerima ketentuan Tuhan bahawa jodoh dan pertemuan terletak di tangan-Nya. Walaupun mereka berpisah berbelas-belas tahun lamanya, jika jodoh sudah ditetapkan ada, maka mereka akan bersatu juga. Ketika Jalil berjalan di tengah-tengah kawasan itu, Jalil sudah berasa dirinya benar-benar berada di puncak kejayaan.

BAB 36

Projek taman tema yang siap sepenuhnya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dalam dan luar negara. Bilangan pengunjung semakin bertambah kerana kemudahan yang pelbagai disediakan. Kompleks perniagaan di pekan Bukit Jenun didirikan. Laluan trem juga disediakan untuk kemudahan pelancong. Terdapat juga safari yang dibuka 24 jam. Masjid juga disediakan di bawah pengurusan Ustaz Megat. Jalil dan Latifah menginap di banglo dua tingkat dengan penuh kebahagiaan.

 

TAMAT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s